pic header

pic header

Tuesday, July 15, 2014

Amanah Dalam Pekerjaan


Inilah pengalamanku...

Saya bekerja sebagai seorang Trainer di sebuah Kilang. Tugas saya adalah memberi tunjuk ajar dan latihan pada operator dan technician baru bekerja. Selain mengajar saya juga diberikan tugas untuk melakukan Audit terhadap mereka. Setiap kali mereka melakukan kesalahan saya akan menangkap dan menegur kesalahan mereka.

Siapa yang suka pada orang yang selalu membuat Audit? Mesti rasa tak selesa jika selalu saja ada orang ganggu tatacara kerja kita.

Salah seorang operator saya bertanya...

“Akak, kenapa suka tangkap orang. Lama-lama nanti orang akan benci akak. Orang akan kutuk akak”

Saya jawap...

“Apa yang saya buat ini tugas saya. Ini sebahagian dari  kerja saya. Boss beri arahan. Ini amanah. Kalau saya tak buat macam ini, kalian semua akan melakukan kesalahan. Kalau terlalu banyak salah, macam mana nak keluarkan lot? Macam mana nak dapat keuntungan?

Operator itu menjawab..

“Tapi akak fikir la. Akak ingat orang suka ke? Ganggu tau tak? Akak tak rasa apa kami rasa. Susah kerja. Lama-lama akan membenci akak.”

Tanpa berfikir panjang, saya menjawab ...

“Cuba kamu berada di tempat saya. Apa kamu rasa. Kamu kena tahu 1 proses machine. Saya kena tahu semua proses machine. Dalam kilang kita ada 13 proses. 13 proses saya kena tahu tatacara kerja. Cara guna machine. Defect setiap machine. Kalau kamu baru 1 proses sudah bising, tak ikhlas buat kerja. Selalu buat masalah. Memang selalu di Audit.

“Saya tak kisah orang nak membenci saya. Saya tak kisah orang mengutuk saya. Yang penting kerja saya siap, Bos puas hati. Cukup bulan ambil gaji. Yang paling penting ikhlas , amanah dan tanggungjawab.”


DEFINISI
Kerja bermaksud “Kesungguhan yang dilaksanakan oleh manusia bagi mendapatkan upah atau ganjaran”.
Ibadah bermaksud “Kepatuhan dan ketaatan kita kepada ketinggian dan kekuasaan Allah yang diiringi kesanggupan menyerah diri kepadaNya”.

Kerja sebagai ibadah bermaksud “ Tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredhaan Allah”. .

TUJUAN BEKERJA
1.Tuntutan di dalam Islam.
2. Untuk mendapat rezeki kurniaan Allah
3. Sebagai mekanisme untuk memakmurkan muka bumi.

CIRI-CIRI KERJA DIANGGAP IBADAH
1.Niat kerana Allah.
2. Berteraskan iman dan taqwa.
3. Tidak meninggalkan yang wajib.
4. Mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat.

KERJA DIANGGAP IBADAH APABILA....
Pekerjaan itu adalah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak. Pekerjaan yang disertakan dengan niat dan diredhai Allah. Pekerjaan yang dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh. Pekerjaan berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab. Menghasilkan kerja yang berkualiti.

APABILA PERKARA DI ATAS TERCERNA
1. Menerima 3 jenis balasan:
a. Mendapat balasan dalam bentuk material.
b. Mendapat balasan dalam bentuk kepuasan.
c. Mendapat pahala di akhirat kelak.
2. Ia akan dirangsang dengan kuat untuk bekerja.
3. Ia akan menjadi seorang yang proaktif, berdisiplin dan boleh dipercayai.
4. Ia akan selalu berwaspada untuk mengelakkan diri dari sebarang kemungkaran termasuk perkara yang tidak bermoral.
5. Ia akan menjadi pekerja yang berprestasi tinggi.


TUNTUTAN PENTING DALAM MENJADIKAN KERJA SEBAGAI IBADAH
1. Niat Ikhlas Kerana Allah Ia akan mengangkat manusia kepada kemuncak ketinggian dan kemuliaan insan. Ikhlas juga akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan, membawa kedamaian dan kesejahteraan serta terhindar dari sifat riya’ demi mengharapkan redha Allah.

2. al-Sidq (Benar) Ia akan menjamin dalam mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara masyarakat tidak kira seorang alim, pemimpin, hakim, saudagar, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.

Menurut Imam al-Ghazali ada beberapa jenis sifat sidq. Di antaranya ialah :
Benar pada lidah -menyampaikan suatu kenyataan atau berita menepati apa yang sebenarnya.
Benar pada niat -membuat sesuatu amal kebajikan kerana Allah.
Benar pada azam -Membulatkan tekad melakukan kebajikan seperti yang telah diazam.
Benar pada janji dan benar pada amal -Berusaha bersungguh-sunnguh supaya amalan lahirnya menepati dengan apa yang tersembunyi dalam dirinya.

Benar pada niat dan perbuatan, contohnya:
- Mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi atau pun mengharapkan balasan.
- Bercakap benar dan menepati janji, tidak bercakap bohong dan mungkir janji.
- Memberikan atau menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan.
- Rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

3. Amanah. Orang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai sebaliknya orang khianat menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan. Ia merupakan asas kepada ketahanan umat, kestabilan negara, dan roh kepada keadilan.

Nilai Utama Dalam Etika Kerja Sebagai Ibadah AMANAH; Sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Antara amalan amanah ialah :

- Sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng dan cuai.
- Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa.
- Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi.
- Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya.- Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

4. Fatanah (Bijaksana). Bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja dengan menghindari perkara- perkara yang boleh mendatangkan ketidakpuasan, mengagihkan kerja mengikut keupayaan seseorang, menyampaikan arahan serta memelihara aib saudara seIslamnya yang lain.

BIJAKSANA Menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan, seperti:

- Menggunakan segala potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah.
- Sentiasa berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti.
- Mempunyai fikiran yang rasional dan pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengira perasaan dan emosi.
- Sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme.

5. BERSYUKUR. Perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterima, antaranya; Sentiasa menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan sebagai hak. Bersedia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, berdendam atau menabur fitnah. Tenang menghadapi masalah dan redha menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak berputus asa. Berpuas hati dengan nikmat yang diperolehi.

6. DEDIKASI. Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti, contohnya:

- Bekerja tanpa rasa jemu dan bosan serta bersedia menerima tugas dengan tidak mencari helah. Sanggup berkorban masa dan tenaga demi kepentingan perkhidmatan.
- Tekun dan rajin serta bersikap positif dalam melaksanakan tugas dan memastikan hasil kerja sentiasa berkualiti.
- Menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sabar, teliti dan ceria, tidak cuai atau merungut.
- Cergas dan pantas bekerja dan hasilnya menepati kehendak organisasi.

7. IKHLAS.  Berhati suci dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran, antaranya:

- Menerima tanggungjawab dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab.
- Menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain.
- Memberikan layanan yang baik, tanpa mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih.
- Bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka.
- Saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan.

8. PENYAYANG. Perasaan dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat, seperti :
- Bersifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri.
- Menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk.
- Bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas.
- Menjadikan organisasi sebagai sebuah keluarga besar yang penuh dengan kemesraan.
- Bersifat simpati dan empati dalam tugas seharian.

No comments:

Post a Comment